Rabu, Januari 12, 2011

Kelahiran Bayi Melebihi Penduduk Singapura

Utusan -- Indonesia mencatat daftar kelahiran bayi sebanyak 4.5 juta orang setiap tahun sejak 10 tahun lalu dan keadaan ini seharusnya mencetuskan kebimbangan kepada kerajaan negara itu.

Pertambahan kadar kelahiran setiap tahun itu dikatakan menyamai jumlah penduduk Singapura atau empat kali ganda jumlah penduduk Timor Leste.

Berdasarkan bancian pada 2010, penduduk republik ini berjumlah 237.6 juta orang, meningkat sebanyak 3.5 juta orang berbanding jangkaan sebelum ini.

Pertambahan penduduk itu akan meningkatkan beban kerajaan kerana terpaksa menyediakan prasarana yang sempurna kepada rakyat.

Akhbar Kompas melaporkan, apa yang membimbangkan ialah ketika kerajaan sedang mengenal pasti kesan peningkatan jumlah penduduk, rakyat negara ini telah mengalami kesulitannya.

Kesan yang sedang dihadapi rakyat negara ini ialah kesukaran mendapatkan kerja, kawasan penempatan penduduk yang kotor dan jalan raya yang sesak.

"Jumlah penduduk yang besar boleh menjadi penggerak ekonomi yang kukuh jika rakyatnya berkualiti," kata penganalisis kanan Pusat Pengajian Kependudukan dan Dasar Universiti Gadjah Mada, Sukamdi.

Bagaimanapun, kesan peningkatan jumlah penduduk itu menjadi beban pembangunan kepada Indonesia kerana daya saing penduduk di negara ini masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain termasuk di Afrika.

Berdasarkan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), indeks pembangunan manusia di republik ini pada 2010 berada pada kedudukan 108 daripada 169 negara.

Jumlah penduduk Indonesia meningkat hampir dua kali ganda setiap 40 hingga 50 tahun sekali.

Pada 1930, jumlah penduduk negara ini ialah seramai 60.7 juta orang dan 1971 (119.2 juta) sementara pada tahun lalu jumlah itu meningkat kepada 237.6 juta orang.

Sekiranya, pertumbuhan penduduk tidak dikawal dengan baik, negara ini akan didiami oleh 475 juta orang penduduk pada 2057.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar